Kejutan Puisi Joko Pinurbo

JOKO Pinurbo ialah salah seorang penyair mapan Indonesia yang sudah 30 tahun menulis. Buku puisinya Kekasihku ini telah memenangi Khatulistiwa Literary Award pada tahun 2005. Membaca buku kecil ini yang hanya 45 halaman dan memuatkan cuma 40 buah puisi memberikan kepuasan yang tersendiri. Joko kelihatan begitu berhati-hati mencipta karya-karyanya.

Walaupun dia berbahasa seperti bercerita dalam setiap puisinya, tapi selalu ada keanehan, misteri dan kejutan pada bahagian akhir puisi. Dan penyudah puisi Joko itulah sebenarnya yang berjaya mencuit hati kita dan adakalanya kita temui kejutan yang tidak disangka serta ia menarik kita untuk membaca puisinya yang lain pula. Kerana kebijaksanaan dan misteri puisi-puisi inilah barangkali yang memikat penerbitan Omahsore untuk membuat cetakan kedua.

Tidak ada kata pengantar yang memperkenalkan buku kecil ini. Joko cuma memuatkan seperenggan kata-kata penulis lain sebagai perangsang di awal buku. Iaitu kata-kata yang menyimpulkan tentang diri seorang pengarang dan nasib buku-buku puisi para penyair. Kata-kata Paska Wahyu Wibisono itu begitu menawan hati, "Pengarang, engkau sungguh sabar menunggu ide yang tanpa kabar. Dirimu sangat percaya diri meskipun karyamu tidak banyak terbeli."

Kehidupan yang memberi ilham dan persekitaran yang menyentap perasaan, segala-segalanya dirakam ke dalam kata-kata. Malah perihal berkenaan celana sahaja telah berkali-kali dipuisikan Joko melalui berbagai sudut dan cerita. Perhatikan saja dalam Perjamuan Petang, Celana Tidur, Celana Ibu, Selepas Usia 60 dan Satu Celana Berdua. Kelima-lima puisi ini, fokus utamanya adalah berkisar tentang celana. Mungkin pertama kali membaca, kita akan tertanya-tanya mengapa penyair banyak kali berkisah tentang celana. Kenapa agak mendalam minatnya dengan celana?

Setelah menyelidiki latar kepenyairannya, tahulah kita rupa-rupanya memang sejak dulu penyair kelahiran Sukabumi, Jawa Barat ini ternyata gemar memotretkan perihal celana menjadi puisi. Buku kumpulan puisinya yang pertama pun berjudul Celana (1999) dan memenangi Hadiah Sastra Lontar 2001 serta diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Trouser Doll (2002). Puisi tentang celana jugalah yang menobatkan dirinya sebagai pemenang Sih Award 2001 dengan tiga buah puisi masing-masing berjudul Celana 1, Celana 2 dan Celana 3.

Joko mencipta kejutan yang menarik dalam puisi Malam Pertama. Mula-mula meneliti puisi ini, pembaca akan mengagak bahawa yang ditidurinya pada malam pertama itu adalah isterinya. Joko berjaya mengikat kita untuk terus membaca sehingga habis cerita dan rupa-rupanya yang ditidurinya itu ialah buku. Satu gaya penceritaan yang menarik dan sebuah kejutan yang membuatkan kita hampir-hampir tertawa membacanya.

BayanganJoko mencipta bayangan yang jauh dalam hampir setiap puisi-puisinya. Bayangan-bayangannya itu banyak juga yang mengejutkan. Seawal puisi Pacar Senja dia berkisah tentang seseorang yang berkasih dengan senja. Terlalu bijak Joko bermain kata-kata hingga kita menjadi kabur, adakah kekasih senja itu juga sejenis senja ataukah seorang manusia. Joko bermain dengan bayangan dan imaginasi yang disamarkan kewujudannya dengan realiti dan kita sebagai pembacalah yang akan terleka menikmati.

Dalam Baju Bulan, bayangan yang diciptanya lebih mempesona. Dia berkisah tentang seorang gadis kecil yang sering menangis di persimpangan jalan. Saat mahu lebaran, gadis miskin yang kehilangan ibu dan tak punya ayah itu mahu meminjam baju bulan untuk semalaman buat berhari raya. Kemudian begitu sendu sekali dia mengakhiri: Bulan sendiri / rela telanjang di langit, atap paling rindang / bagi yang tak berumah dan tak bisa pulang. Bayangan-bayangan yang mengejutkan inilah yang membuatkan puisi-puisi Joko enak dibaca.

Begitu jauh bayangan dan imaginasi Joko hingga kita menemukan senja yang pandai bercinta dalam Pacar Senja, kucing yang boleh bercakap dalam Dua Orang Peronda, sepasang celana yang mampu berbicara dalam Rumah Cinta, wang yang dapat bersuara dalam Sedekah, bulan yang berbaju cantik dalam Baju Bulan, bintang yang dapat menegur manusia dalam Di Bawah Pohon Cemara, huruf-huruf surat khabar yang jatuh ke lantai dan berguguran di halaman dalam Dengan Kata Lain, kalendar yang suka tertawa dalam Februari yang Ungu dan jururawat yang menggoda dalam Rumah Sakit.

Terdapat dua buah puisi yang pendek sekali isinya, sekadar sebaris ayat. Iaitu Kepada Puisi dan Matakata. Hanya sebaris pesan yang ditinggalkannya dalam Kepada Puisi: Kau adalah mata, aku airmatamu. Dan sebaris juga dalam Matakata: Matakata menyala melihat tetes darah di mata pena. Walaupun sajak pendek ini tidak dapat mengatasi keagungan sajak pendek Sitor Situmorang, Malam Lebaran yang hanya berisikan sebaris perkataan: Bulan di atas kuburan. Namun Joko tetap mempunyai keunikannya yang tersendiri dalam menggarap puisi.

Berkali-kali membacanya akan menyedarkan kita terhadap beberapa frasa, suasana dan objek yang digemari Joko yang diulangnya dalam keadaan yang berbeza-beza dengan pelbagai rasa dan kesan. Paling utama tentu saja celana; selain daripada ibu, senja, buku, baju dan pohon cemara. Kekasihku, walaupun nipis dan ringkas, tiada pengantar dan tanpa apa-apa pujian kepada penyair di kulit belakang tapi buku kecil ini tetap istimewa untuk dibaca.

ARKIB : 21/10/2012
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sastera/20121021/sa_03/Kejutan-puisi-Joko-Pinurbo?utm_source=twitterfeed&utm_medium=twitter#ixzz29x4K2Hd1
© Utusan Melayu (M) Bhd